"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Tuesday, October 18, 2011

Dalam terluka masih merindu


Sekian lama memendam rasa hati ini. Cuba untuk tidak menghiraukannya lagi. Cuba untuk memadamkannya. Cuba untuk melupakannya. Ternyata saya tewas. Ternyata saya masih tidak mampu melupakan segalanya.

Walaupun sudah 4 bulan saya menyepikan diri darinya. Tidak menghiraukannya lagi. Ternyata hari ini, saya sedar perasaan ini masih kuat untuknya.

Hari ini airmata ini mengalir lagi. Mengalir kerana rindu. Mengalir kerana terluka. Mengalir kerana kecewa.

Kerinduan ini amat mencengkam jiwa. Namun, telah saya bertekad dalam hati, saya tidak akan sekali-kali menghubunginya lagi. Apatah lagi untuk kembali ke sisinya. Tiada gunanya lagi. Saya harus kasihankan diri sendiri. Cukuplah penipuan dan kezaliman yang dia lakukan pada saya. Mengapa saya mahu terus menghancurkan hati saya lagi. Andai benar dia ikhlas dan bersungguh, sudah pasti sejak dulu lagi dia gigih berusaha mencari jalan untuk bersama saya. Tapi sayangnya, hanya dimulutnya sahaja. Sedangkan tiada apa-apa tindakan yang dia lakukan. Akhirnya dia hanya membiarkan saya menanti dan terus menanti.

Kini, saya terluka, kecewa, kesepian dan merana sendirian di sini. Sedangkan dia sedang berbahagia bersama isteri dan anak-anaknya.

Lelaki bukan sahaja EGO malahan SELFISH dan KEJAM... saya benci lelaki sebegitu. Hati ini telah hancur. Cukuplah apa yang telah saya lalui. Saya tidak mahu lagi melalui episod pahit ini.

Friday, August 26, 2011

Harapan... Sepasang Kurung Biru...

Mengapa sukar untuk sekurang-kurangnya memahami keadaan orang lain? Tidak semua manusia itu sama. Setiap manusia punya nasib dan jalan hidup yang berbeza-beza. Apa yang kita rasa dikala ini mungkin menggembirakan, tetapi tidak semestinya orang lain akan merasai yang sama seperti kita. Tak perlulah sampai untuk merasainya sendiri akan kesukaran dan ketidakmampuan orang lain, barulah nak memahami dan menghormati mereka. Sekurang-kurangnya hormati perasaan, emosi dan keadaan orang itu. Janganlah mengheret mereka kedalam situasi sendiri sedangkan tahu mereka itu tidak mampu untuk menyertainya. Mengapa memilih menjadi kejam?

Apakah sudah hilang rasa kemanusiaan dalam diri kamu? Baik, mungkan hilang rasa kemanusiaan itu berat bunyinya, tapi apakah kamu tidak mempunyai deria rasa ke-enam? Tak bolehkan kamu rasakan walau hanya sekelumit pun apa yang orang lain rasa? Bukanlah mahukan kamu membuang rasa gembira kamu, lantaran orang lain tidak gembira seperti kamu. Cuma, hanya sedikit penghormatan dari kamu dipinta agar dapat menghormati apa yang orang lain rasa. Jangan memandang rendah apa yang orang lain rasa. Jangan menganggap mudah apa yang orang lain rasa, walau hakikatnya mudah bagi kamu, tetapi tidak bagi orang lain.



Hmmmm… terbit rasa terkilan dihati dengan sikap kamu. Mengapa mudah kamu memberi harapan kepadanya, namun kamu sebenarnya tidak begitu serius mahu menunaikannya. Membuatkan dia ternanti-nati. Penghujungnya hanya kehampaan. Sedih saya melihat keadaan ini. Teringin sekali saya menunaikan harapan yang dijanjikan oleh kamu kepadanya, agar dia gembira. Tapi, saya tak mampu. *sigh*

Hmmmmmm… minta-minta 2-3 hari ni, saya mampu melakukan sesuatu untuknya, aminn.

Ramadan semakin hampir ke penghujung.

Pagi ni Hot Fm memutarkan lagu-lagu raya lama yang malar segar selama 2 jam. Itulah peneman saya sewaktu memandu ke pejabat pagi tadi. Alhamdulillah jalan pun dah semakin lengang. Tiada langsung kesesakkan seperti hari-hari yang lalu.

Lagu raya lama-lama terlalu banya yang sedap didengar dan takkan muak didengar. Kalau mahu disenaraikan, terlalu panjang. Tapi, dalam banyak-banyak lagu tu, lagu Sepasang Kurung Biru nyanyian Khairil Johari Johar menjadi pilihan nombor satu saya. Kenapa? Mungkin sebab saya suka warna biru kot. Bukan ada apa-apa cerita pun disebalik lagu tu bagi saya.

Monday, August 22, 2011

Jalan TAR sesak... fuh! nasib baik...

Seminggu yang lepas ada terdetik di hati saya untuk jalan-jalan ke Jalan Tuanku Abd. Rahman (TAR) selepas habis peperiksaan pada hari semalam. Niat dihati mahu mencari sehelai tudung atau selendang. Itu sahaja yang saya perlukan untuk hari raya nanti. Tudung atau selendang itu akan dipadankan dengan baju kurung yang berusia 3 atau 4 tahun lepas yang akan saya pakai di pagi raya nanti. Hanya itu persiapan raya untuk diri saya buat kali ini.

Tapi niat untuk ke Jalan TAR tu tidak sepenuhnya. Separuh hati saya tak mahu ke sana. Hari Sabtu lepas semasa pergi ke pasar untuk membeli barang-barang dapur seperti selalu, saya singgah di sebuah gerai menjual tudung. Terpandanglah oleh saya akan selendang yang cantik dan murah. Kebetulan ada pula warna yang mahu saya padankan dengan baju kurung saya. Dengan harga RM15 saya pun membeli selendang tersebut. Setelah mendapat apa yang saya inginkan, hanya tinggal 20% sahaja keinginan untuk jalan-jalan ke Jalan TAR yang tinggal. Memikirkan lebaran yang semakin hampir, saya menjangkakan pasti Jalan TAR akan sesak pada waktu-waktu sekarang.

Akhirnya selepas habis menjawab kertas peperiksaan semalam, saya lepak buat beberapa ketika dengan kawan-kawan sekuliah. Tak sampai 30 minit pun kami lepak. Lepas tu masing-masing terus melangkah kaki membawa haluan sendiri. Saya pun memang tak jadi pergi ke Jalan TAR, terus balik rumah.

Nasib baik saya mengambil keputusan tak mahu pergi, kalau tidak pasti saya bertambah tertekan. Baca berita dan melihat gambar di Kosmo online, bahawa semalam Jalan TAR teramat sesak. Huh! Alhamdulillah…. Saya membuat keputusan yang betul buat kali ini.

Kesesakkan di Jalan TAR. Gambar dari Kosmo online.

"Rasa itu"

Alhamdulillah tamat sudah peperiksaan akhir bagi Semester Mei. Setelah mengharungi 4 bulan yang penuh cabaran. Akhirnya sampai juga dipenghujung. Cuma penghujung yang tak memuaskan hati. Dapat dirasakan hasilnya nanti akan mengecewakan. Hmmmmmmm… cuba untuk terima walaupun ianya menyakitkan.

Pejam celik, dah nak masuk 22 hari berpuasa di bulan Ramadan ni. Begitu cepat masa berlalu. Rasa tak puas berpuasa. Terasa macam baru sahaja puasa ini bermula. Dam… dum… dam… dum… bunyi dentuman meriam buluh dan mercun sudah mula kedengaran. Anak-anak jiran telah pun melancarkan ‘perang’. ‘Perang’ yang hanya datang setahun sekali. Namun sayang, walaupun dentuman meriam buluh dan mercun itu hanya setahun sekali akan didengar, namun kali ini dentuman itu tidak mampu mengundang rasa kemeriahan dalam hati untuk menyambut raya yang bakal menjelma.

Semangat untuk menyambut raya itu telah tiada dihati. Hanya yang ada kesunyian, kepiluan dan kesepian. Bukan hanya menyambut raya, tetapi rasa kekosongan ini telah lama bertapak dihati. Serasa seperti tiada tempat untuk diri diatas muka bumi ini. Terasa diri sangat terasing. Tak tahu apakah tujuan hidup. Hmmmm.. bukan tak tahu… tahu… tapi rasa ketidaktahuan itu sering hadir dalam hati. Semangat yang telah lama hilang, masih tidak mahu kembali. Terasa tiada langsung kenikmatan dalam dunia ini untuk diri. Seringkali diri sentiasa merasakan kematian itu lebih baik, lantaran tiada apa lagi di atas muka bumi ini untuk diri. Diri yang tak mampu untuk memiliki apa-apa. Terasa diri hanya melukut di tepi gantang.

Setahun yang lalu, berusaha dan mencuba mengalih rasa kekosongan dan ketidakadaan ini dengan mendaftarkan diri untuk sambung belajar. Semangat yang berkobar-kobar sejak berbelas tahun dulu untuk melanjutkan pelajaran nampaknya telah hilang. Harapan terlalu tinggi untuk mengalihkan perhatian, tumpuan, minda, jiwa dan rasa hati yang terluka parah kepada pembelajaran. Namun usaha itu tidak menjadi. Malah pembelajaran yang menjadi mangsa. Gangguan emosi dan jiwa itu masih berlaku, sehingga mengganggu pembelajaran. 3 semester telah berlalu, namun semangat yang berkobar-kobar yang sentiasa membara suatu waktu dahulu, kini telah hilang. Sekaligus membuatkan segalanya menjadi serba tak kena. Aaaarrrgghhhhh… bosannya.

sumber: http://www.uimages.org/tag/big-cat/

Rasa… ‘rasa itu’ rupanya tidak mahu pergi. Walau hampir 3 bulan tindakan nekad itu dilakukan, namun ‘rasa itu’ masih ada. Sentiasa ada. Malah adakalanya ‘rasa itu’ terlalu dalam dan terlalu sukar dikikis. Walaupun sakit dan teramat perit mengharunginya, tapi hanya itulah keputusan yang terbaik. Untuk kesekian kalinya, terpaksa mengorbankan hati sendiri. Untuk kesekian kalinya diri tertewas. Dan untuk kesekian kalinya terasa diri tersisih. Namun, ‘rasa itu’ masih ada dan masih membara hingga membakar diri sendiri.

Thursday, August 18, 2011

Kenapa?



Kenapa manusia, apabila telah diberikan tuhan rezeki yang lebih, mulalah dia berlagak dan sombong?

Hmmmm….


Friday, August 5, 2011

Saya kecewa



Emosi terganggu.
Rasa ‘down’.
Keputusan ‘assignment’ untuk 3 dari 4 subjek telah dikeluarkan. Untuk subjek A, alhamdulillah saya dapat 28/30, untuk subjek B hanya dapat 25.5/40, kecewa untuk ini dan lebih kecewa untuk subjek C, hanya dapat 37.5/50. Kecewa sangat-sangat dengan keputusan ini. Lebih kecewa dengan diri sendiri. Untuk subjek yang satu lagi tu tak tahulah apa pula markahnya.

Hari Ahad ni bermulalah peperiksaan akhir untuk semester ini. Ini sahajalah harapan saya untuk memperbaiki keputusan saya. Tapi, saya seolah hilang keyakinan diri. Kerana pengalaman 2 semester yang telah berlalu, walaupun saya buat ulangkaji, tetapi saya tak mampu nak mengingat semual apa yang saya baca.

Bertawakkal sahajalah.

Hati remuk sangat-sangat dikala ini.

Friday, July 29, 2011

Alhamdulillah... Alhamdulillah; Harimau Malaya saya sayang kamu

Alhamdulillah… hujan rahmat mengiringi kehadiran penghulu hari pada minggu ini. Jumaat yang sejuk, dingin dan damai saya rasakan. Walaupun jalan raya sesak, tapi alhamdulillah sesaknya hanya di separuh jalan sahaja, selebihnya lalulintas lancar. Namun, saya tetap lewat sampai ke pejabat. Tapi, tak apa biar lewat jangan tak sampai terus.

sumber: http://razythelast.deviantart.com/art/harimau-malaya-191228839

Hujan yang lebat juga seolah-olah mewakili seluruh rakyat Malaysia yang kecewa apabila pasukan bolasepak skuad Piala Dunia gagal ke peringkat seterusnya dalam usaha menempatkan diri untuk kelayakkan Piala Dunia bagi Zon Asia. Namun, hujan yang mencurah yang membawa rahmat ini sebenarnya juga mewakili kebanggaan peminat-peminat bolasepak tempatan dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan kita. Inilah yang semua peminat harapkan. Kalah tapi dengan semangat juang yang tinggi. Diharapkan kekalahan ini adalah batu loncatan untuk pasukan kita melangkah lebih jauh. Tahniah pasukan Harimau Malaya. Teruskan perjuanganmu sayang. Saya sayang kamu. Auuuuummmmmmmm…

sumber: http://vrempire.com/multimedia/nike-football-posters-of-malaysian-tigers-aka-harimau-malaya.html

Alhamdulillah juga bila kakak saya beritahu yang dia sekeluarga dapat bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor. Saya betul-betul lega. Beberapa hari ni saya dilanda kerisauan dan kesedihan. Bila mengenangkan Ramadan bakal menjelma dan Syawal pula bakal menyusul. Namun, persiapan Syawal belum kami buat lagi. Bagi diri saya sendiri, memang saya tiada peruntukkan untuk raya kali ini. Tiada baju baru, tudung baru, kasut baru. Saya akan pakai apa yang saya ada, yang saya pakai setiap kali ke pejabat. Itu sudah memadai bagi saya. Bukan tak teringin nak menyarung pakaian baru di pagi raya dan sewaktu menziarah kubur, tapi saya tak mempunyai bajet untuk itu semua.

Cuma saya risaukan anak-anak saudara saya. Kakak saya tidak bekerja dan dia membantu saya menjaga orang tua kami yang dah keuzuran di rumah, disamping menguruskan anak-anak dan suaminya. Suaminya hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang kecil. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jadi, sememangnya saya yang menanggung perbelanjaan kami sekeluarga. Ini pengorbanan saya, setelah kakak saya berkorban membantu saya menjaga orang tua kami, sepeninggalan saya keluar bekerja yang keluar awal pagi dan hanya balik ke rumah bila waktu Isyak menjelma.

Namun dengan bantuan kewangan dari Lembaga Zakat Selangor ini, Alhamdulillah bersyukur sangat, sekurang-kurangnya dapatlah kakak saya membelikan pakaian baru untuk anak-anaknya untuk dipakai pada hari raya nanti. Kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Kalau saya, baju kurung 10 tahun lepas pun masih boleh saya pakai dan masih baik, jadi bolehlah saya pakai pada hari raya nanti. Tapi kanak-kanak lain, mereka sedang membesar. Baju raya tahun lepas dah tak boleh nak disarungkan lagi pada tahun ini. Semua baju-baju tu dah tak muat lagi. Jadi, sememangnya mereka memerlukan pakaian baru. Lagi pun anak-anak saudara saya ni bukan selalu dapat pakaian baru.

Syukur ya Allah… Alhamdulillah… terima kasih atas rezeki yang telah dilimpahkan kepada kami sekeluarga.