Wanita apalah dosamu sering dizalimi orang yang sepatutnya melindungimu?
Wanita sampai bila kau mahu beralah dengan lelaki yang hanya mementingkan dirinya sendiri?
Wanita tabahlah!Hujung minggu yang sepi. Kebiasaan yang dilalui. Walau telah lali tetapi kesepian dan kesunyian ini tiada siapa yang tahu. Semakin hari berlalu, serasa semakin sempit jalan yang dilalui. Hanya sendirian.
Menerima takdir sendiri dengan hati yang berbagai rasa. Sejujurnya hati terasa sayu, sedih dan pilu. Tapi apalah daya, kuasa itu tidak ditangan sendiri.
Seiring peredaran masa, meningkatlah usia, semakin diri menjadi sepi. Sahabat, seorang demi seorang menemui teman hidupnya, manakan ada masa untuk bersama sahabatnya lagi. Kehilangan itu sentiasa terjadi.
Ingin juga seperti insan lain, kesana-kemari mengisi hujung minggunya. Namun, apakan daya kemampuan diri amat terbatas. Hidup dalam dunia yang materialistik ini, menuntut diri menjadi lebih berjimat. Sakitnya bila, materialistik itu bukanlah sikap dan keinginan sendiri, tetapi keadaan semasa. Sedangkan keperluan asas juga telah dimaterialistikkan nilainya, apatah yang lainnya. Inilah hidup yang terpaksa dilalui dengan bukan kehendak hati tetapi sebagai keperluan untuk meneruskan kehidupan.
Dalam usia begini sifat kewanitaan itu semakin menebal. Sementelah lagi, pernah merancang membina mahligai bersama si dia tercinta. Tetapi, impian itu musnah. Dimusnahkan olehnya yang tercinta. Kejujuran itu bukan menjadi pegangannya. Pendustaan yang dilakukannya sedari awal membunuh jiwa. Pernah berangan mempunyai cahayamata bersamanya. Itulah impian seorang wanita. Wanita mana yang tidak mahu melalui pengalaman mengandung dan melahirkan zuriatnya sendiri. Tetapi, itu hanyalah impian, tiada seorang wanita mahupun manusia yang dapat menentukan impiannya itu terlaksana mengikut keinginannya. Mengapa setelah impian itu dibina bersama, barulah pendustaannya terbongkar. Terasa teramat bodohnya diri.
Luka yang dilakukan oleh orang yang dicintai itu terlalu dalam. Sukar untuk diubati. Sehingga kini luka itu masih berdarah dan pedih. Luka itu semakin pedih apabila setiap kali menerima kad walimatulurus teman, saudara-mara mahupun jiran tetangga. Tidak sanggup untuk melihat mana-mana persandingan atau pelamin, kerana itulah yang pernah diimpikan dahulu (mungkin sehingga kini) tetapi impian itu ibarat mimpi ngeri yang sentiasa mengekori.
Luka itu juga semakin parah dan tidak nampak tanda-tanda untuk darahnya berhenti mengalir, bila menerima khabar sahabat, saudara-mara mahupun jiran tetangga menimang cahayamata. Tidak kira yang pertama, kedua, ketiga atau seterusnya. Lebih memedihkan bila mereka itu jauh lebih muda dari diri sendiri. Keinginan menjadi seorang ibu semakin menebal. Tetapi apalah daya diri tidak mampu menentukan takdir sendiri.
Seringkali hanya airmata yang dapat meredakan kegelisahan dan kelukaan hati. Airmata setia membasuh luka itu, walau bukanlah ubat yang dapat menyembuhkannya. Semakin hari semakin terasa diri jauh tersisih. Terasa diri jauh terpinggir.
Rasa hati terus terpendam, tiada siapa yang akan memahaminya. Atau juga akan ada yang faham tetapi mereka tetap takkan merasai derita hati ini.-insan terluka-
No comments:
Post a Comment