"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Tuesday, May 24, 2011

Rasa hati ini dan belajar

Rasa hati ini
Hari ni dah pun 24hb Mei 2011. Sekejap sahaja dah nak masuk pertengahan tahun 2011. Terlalu pantas masa berlalu. Usia semakin meningkat, tetapi kehidupan diri sendiri masih tiada perubahan. Masih begitu-begitu juga, malah seringkalai terasa semakin menyiksa dan menyesakkan dada.

Hidup saya semakin sepi. Saya semakin jauh dari kawan-kawan saya. Itu pilihan saya sendiri. Sekarang saya sudah tidak tahu apa-apa khabar berita tentang kawan-kawan saya. Suatu tindakan yang tidak sepatutnya saya lakukan, tapi saya terpaksa lakukan untuk mengubati kemurungan dan rasa rendah diri yang semakin menebal dalam diri saya. Buat masa sekarang, saya masih belum bebas dari kemurungan yang pada zahirnya tidak kelihatan, tapi amat parah di jiwa. Orang kata kalau kita ada masalah cari kawan atau orang paling rapat dengan kita untuk luahkannya. Sekurang-kurangnya bebanan itu akan berkurangan walaupun tiada jalan penyelesaian.

Tapi, maaf cakap, saya tak tahu dengan siapa lagi saya nak berkongsi rasa. Apa yang saya lihat, orang sekarang terlalu mementingkan kebendaan, jadi kalau masalah yang berkaitan hati dan emosi ini, akhirnya bagi mereka boleh diubati dengan kebendaan. Itu penilaian dan apa yang saya rasa dan lalui. Saya mungkin salah, tetapi pengalaman buat saya lebih suka mendiamkan diri dan mencari penyelesaian sendiri. Biarpun saya akan mengambil terlalu banyak masa untuk mengatasa, menyelesaikan dan seterusnya mengubati hati sendiri. Itu lebih baik bagi saya, daripada meluahkan kononnya untuk meringankan beban, alih-alih lebih terbeban dengan ‘sikap’ dan pandangan kawan.

Ok. Cukuplah luahan saya tentang perkara ini. Mungkin dilain masa akan ada luahan lain lagi.

Belajar
Semester Mei akan bermula 2-3 hari lagi. Ini semester ke-3 bagi saya. Kalau keputusan peperiksaan akhir Semester 1 (September 2010) dulu, amat memberansangkan saya, tak tahu pula macamana dengan keputusan untuk Semester Januari yang lalu. Markah untuk ‘assingment’ saya agak memberansangkan, tetapi untuk peperiksaan akhir saya tidak pasti. Saya berharap luluslah kesemuanya. Tak tahulah bila keputusan Semester Jnuari akan dikeluarkan. Sesungguhnya saya takut, takut tidak lulus.

Untuk Semester Mei ini, saya ambil 4 subjek. 2 daripadanya ada assignment dan soalannya telah pun keluar. Tak tahulah mampu ke tidak saya mengharungi semester ini dengan jayanya. Impian saya diawal-awal belajar dulu, saya tak mahu sekadar lulus tetapi saya mahu lulus dengan cemerlang. Tetapi, keadaan emosi yang selalu tidak stabil, sering mengganggu proses pembelajaran saya. Sedang terus berjuang mengubati emosi yang selalu sakit ini. Sehingga kini belum saya ketemu ubat yang betul-betul mujarab. Atau pun sememangnya saya dah jumpa, cuma kesan ubat itu mengambil masa untuk memberikan kesannya.

*gambar-gambar ambil dari google image

Wednesday, May 11, 2011

Saya mahu bebas!

"Pernahkah kau bermimpi seketika
Berada di tempatku
Membayangkan pahit manis berlalu
Entah siapa yang tahu

Mungkin nanti kau jua merasakan
Berdepan dengan kata menyesakkan
Takkan tugumu kebal
Tiada pertimbangan

Keheningan malam membangunkan
Kepayahan jiwa meluahkan
Andai kau jujur memahami
Tiadaku menjauhi

Dan kisahku yang masih panjang
Menambahkan berat yang memandang
Lantas ku pendam
Ku putuskan biarlah rahsia

Semakin aku hidup dalam cinta
Tiada kuasa mampu menghalangnya
Hentikan kata-kata
Bertulangkan dusta

Pernahkah kau bermimpi seketika
Berada di tempatku"

"Telah lama inginku bertanyakan soalan ini kepadamu. Sejak kita bersama sehinggalah kita berpisah. Sesungguhnya aku mahu tahu apakah kau rasa apa yang aku rasa? Selama kita bersama aku amat memaklumi yang kau tidak pernah mahu tahu apa yang aku rasa. Selama kita bersama kau tidak pernah mahu ambil tahu tentang apa yang aku mahu dan yang aku tidak mahu, apa yang aku suka dan apa yang aku tidak suka. Selama kita bersama aku tahu yang kau tidak pernah tahu pun bilakah tarikh lahir ku. Tiada pernah sekalipun aku menerima ucapan ‘selamat ulangtahun’ darimu pada hari lahirku. Tetapi, tidak bagi aku, selama kita bersama, aku tahu apa yang kau suka, apa yang kau tidak suka, malahan tarikh lahirmu sentiasa berada dalam kotak memoriku. Setiap tahun kau tidak pernah tidak mendapat ucapan ulangtahun kelahiran daripada ku. Jadi, persoalan ini masih berlegar-legar dalam pemikiran ku, walaupun kita telah lama tidak bersama dan kau telah bahagia bersama dia. Soalanku "pernahkah kau cuba memahami dan mengambiltahu tentang keinginan hatiku, tentang diriku?"


Inilah usaha terakhir saya yang cuba mencabut dan membuang jauh 'duri-duri' yang mencucuk disegenap hati saya selama ini. 'Duri-duri' ini yang telah terlalu lama tercucuk dihati. Selama ini saya hanya membiarkan sahaja, kerana saya rasa peredaran masa akan membuatkan ‘duri-duri’ ini layu dan mati lalu akan tercabut dengan sendirinya. Tetapi jangkaan saya salah. Rupa-rupanya, semakin lama ‘duri-duri’ itu semakin melukakan dan menyakitkan hati. Jadi, saya perlu berusaha mencabut ‘duri-duri’ ini, agar hati saya tidak terus disakiti dan saya boleh meneruskan kehidupan saya. Saya mahu membebaskan hati saya. Tidak mahu lagi hati ini terluka, sakit dab bagai terkurung.

Alhamdulillah, sejak saya meluahkan apa yang terbuku dihati selama ini dalam Laman Mawar ini sedikit demi sedikit hati saya menjadi tenang. Tetapi, masih banyak lagi yang terbuku dihati ini yang perlu saya luahkan dan buang terus. Saya berharap suatu hari nanti tidak akan ada lagi apa-apa yang tinggal dalam hati ini yang terus melukakan dan menyakitkan. Saya lakukan semua ini kerana saya mahu terus hidup tapi bahagia walaupun dalam serba kekurangan. Tidak sanggup lagi hidup dalam kegelisahan, kesengsaraan. Cukuplah saya menganiaya diri saya sendiri. Cukuplah saya membiarkan diri saya teraniaya. Saya mesti hentikan semua ini. Saya mahu bebas!

Monday, May 9, 2011

Saya benci bila datangnya hari ibu

Hidup ini terlalu banyak mempermainkan emosi. Apabila diri dan kehidupan kekurangan, terasalah diri terpinggir. Terasa tidak layak berada di sini. Terasa mahu pergi. Tetapi, tak tahu ke mana arus dibawa diri. Juga tak tahu bagaimana mahu pergi.

Semalam sana-sini orang menyambut, bercerita dan mengucapkan Hari Ibu. Sejak dari minggu lepas lagi, radio, tv, surat khabar sibuk bercerita pasal hari ibu ni. Peraduan sana, peraduan sini. Sejujurnya saya tak suka itu semua. Ianya buat saya teramat-amat sedih.

Dulu-dulu masa saya kecil, masa mak masih ada, masa keterbatasan media, stesen radio dan tv tidak sebanyak hari ini, internet pula terlalu asing, tiadalah saya tahu akan kewujudan hari ibu ini. Bagi saya, hari ibu dan ayah adalah setiap hari. Cuma semenjak semakin majunya teknologi yang membawa arus perubahan dunia tanpa sempadan, maka sambutan hari ibu ni pun diwar-warkan dengan hebatnya.

Tiada salahnya pada sesiapa yang mahu menyambutnya. Cuma bagi saya bila ianya diwar-warkan dengan begitu hebat ditambah dengan berbagai-bagai program dan cerita mereka yang masih mempunyai ibu menyambut dan meraikan ibu mereka, adalah seumpama sebilah pisau tajam yang menghiris-hiris hati bagi saya yang telah kehilangan mak. Sehinggakan saya merasa benci akan hadirnya hari ibu. Bukan saya benci hari ibu itu, tetapi saya benci orang-orang disekeliling saya kerana bagi saya mereka terlalu kejam, menunjuk-nunjuk akan kegembiraan mereka tanpa mempedulikan perasaan orang seperti saya yang telah kehilangan ibu dan mereka yang tidak pernah merasa kasih-sayang ibu. Mereka nak sambut, nak raikan ibu mereka pada hari ibu itu saya sokong, tapi tak perlulah nak diceritakan, nak diwar-warkan. Kerana cerita-cerita itu menghiris hati kami yang tak sempat dan tak berpeluang melakukan itu semua.

Bila terdengar, terlihat dan terbaca akan cerita mereka ini, hati saya bagai disiat-siat. Betapa saya merindui mak saya, betapa saya rasa malangnya diri saya kerana tidak sempat membahagiakan, meraikan, memberi penghargaan kepada mak saya seperti orang lain, kerana mak pergi masa saya masih dibangku sekolah lagi. Sejak mak tak ada lagi didunia saya tak cukup kuat nak mendengar, melihat dan membaca cerita mereka yang bercerita tentang dirinya bersama ibu mereka. Saya cemburu. Jadi, apabila hari ibu ini dicanangkan dengan hebat, apabila setiap stesen radio membuka talian untuk pendengar bercerita tentang sambutan dan hadiah hari ibu mereka untuk ibu mereka, apabila stesen tv juga begitu, apabila surat khbar pun cerita sebegitu, saya jadi amat-amat tertekan. Entah berapa kali airmata mengalir, mengenangkan nasib diri.

Semakin maju manusia, semakin maju teknologi, semakin manusia hilang hati perut, semakin manusia mementingkan diri sendiri, semakin manusia hanya memikirkan keuntungan material. Maka, manusia seperti saya yang telah kehilangan ibu, manusia seperti anak-anak yatim yang kehilangan ibu akan terus-terusan rasa terpinggir dan hanya mampu menahan pedih dihati dan hanya airmata yang mengalir dibuat mencuci luka dihati.

Keadaan yang sama akan berulang pada bulan Jun nanti apabila datangnya Hari Bapa. Saya benci semua ini!

Thursday, May 5, 2011

Tak mungkin kerana masih mengharapkan sayang, cuma hanya mengimbau kenangan.

“Setiba di persimpangan,
Langkah kita tak lagi sehaluan
Bermula di saat itu
Tidak senada irama dan lagu”

Tiada siapa pun antara kita yang tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Tentunya kita mahu terus bersama-sama di jalan yang sama hingga ke akhirnya. Namun, telah tertulis, apabila telah ditentukan masanya kita tiba di satu persimpangan, kita telah memilih jalan yang berlainan. Kita tidak lama di haluan yang sama. Kita menjadi dua insan yang berbeza.

“Begitu hidup ini
Tiada yang abadi
Yang patah tumbuh
Yang hilang berganti”

Inilah kehidupan. Manusia hanya mampu merancang dan berusaha mencapai impiannya, tetapi ketentuan itu tetap hak milik mutlak yang maha Esa. Akhirnya dua insan berpisah, membawa haluan sendiri. Kini, kamu telah pun ada pengganti diriku. Dan aku masih berkelana mencari dan mencuba menggapai impian sendiri.

“Kau telah jauh, jauh dariku
Tiada ruang di hati buatmu
Namun harusku akui
Ada ketika di minda kau menjelma kembali”

Telah terbina jurang antara kita. Kesamaan dan persefahaman yang terjalin dulu terlerai sudah. Ternyata sememangnya kita dua insan yang berbeza dari segala segi. Kini, kita sungguh terasing sesama sendiri. Tiada lagi ruang untuk kamu di hatiku begitu juga tiada ruang untukku di hati kamu. Tapi, ku akui sesekali ingatan bersamamu terimbas kembali.

“Sekali sekala ada
Ada rindu yang datang tiba2
Tak mungkin kerana sayang
Cuma terganggu oleh perasaan”

Sesekali apabila memori itu kembali menerjah fikiran, ia tidak lupa hadir bersama rindu. Rindukan kemesraan yang pernah terjalin dahulu. Rindukan kebahagian yang pernah tercipta dahulu. Namun, hadirnya rindu itu bukanlah kerana masih mengharapkan sayangmu, cuma hanya mengimbau kenangan.

“Disaat kamu sedang mengecapi kebahagiaanmu, aku masih lagi terus berjuang mencari kebahagiaanku. Sememangnya nasib kita berbeza. Ujian untuk kita berbeza. Kehidupan kita juga berbeza. Walau kamu seluruhnya membenci saya dan saya terluka dengan kamu seluruhnya, tetapi saya tidak pernah melupakan kasih-sayang yang pernah terjalin dahulu, kerana segalanya yang saya lakukan dahulu bukan mengharap apa-apa balasan.”


Wednesday, May 4, 2011

Kenangan: andai buahnya manis membahagiakan, andai buahnya pahit dan kelat luka yang telah jadi parut kembali berdarah

Kenangan, satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Tidak boleh dipadam, tidak boleh dibuang. Cuma kalau boleh untuk tidak mengingatinya sahaja. Tetapi, mampukah untuk tidak mengingatinya? Walau sekuat mana berusaha pun, pasti akan terbit, terlintas, terimbau juga kenangan itu. Andai kenangan itu membuahkan hasil yang manis, pastilah ianya membahagiakan, tetapi bagaimana buahnya kelat dan pahit, pasti kelukaan dahulu yang meninggalkan parut, terasa kembali berdarah.

Itulah yang dilalui. Suatu waktu dahulu, seseorang pernah bertakhta dihati. Tetapi, tuhan maha mengetahui segalanya, lalu tidak bersama lagi. Walau telah berusaha untuk bersamanya. Tidak tahulah dipihaknya, kerana adakala rasa diri bagai tidak wujud dalam hidupnya, adakala terasa diri diperlukan. Namun, segalanya ada hikmahnya, ada jawapannya. Sesungguhnya memang tidak tertulis jodoh untuk bersama sehingga kini. Jodohnya bersama orang lain dan diri sendiri masih bersendirian sehingga kini. Masih tidak ketemui jodoh yang telah disuratkan.

Cuma, sebagai manusia kita selalu hanya melihat kesilapan yang dilakukan antara kita. Jarang sekali kita mahu terima sesungguhnya kita tidak mempunyai hak yang mutlak keatas diri kita, hidup kita. Jadi, bila berlaku perselisihan, perpisahan, pasti salah satu pihak yang akan dipersalahkan. Lebih perit bila pihak yang terhukum bersalah itu dihukum oleh keluarga atau orang-orang yang berpihak kepada pihak yang lagi satu itu. Kesalahan itu diletakkan 100% kepada pihak yang dihukum bersalah. Menambahkan perit dan luka, bila pihak itu menyatakan sebenarnya dia tidak pernah ada apa-apa rasa terhadap pihak yang terhukum itu. Kejam? Zalim? Entahlah, apa yang pasti sampai mati luka itu tidak akan pernah sembuh.

Urusan tuhan tiada siapa yang tahu. Hanya Dia yang tahu baik dan buruknya sesuatu itu untuk setiap hambanya. Cuma, sebagai manusia hati tertanya-tanya, ternanti-nanti dan tercari-cari jawapan bagi setiap persoalan yang dihadapi dalam hidup. Adakalanya terlalu resah dan gelisah apabila jawapan yang amat diperlukan itu masih belum ketemui.

Hidup menjadi lebih perit apabila diri sendiri masih teraba-raba, tercari-cari, ternanti-nanti dahan untuk berpaut, bahagia yang diimpi, sedangkan diri tidak dapat lari dari terlihat si dia yang pernah singgah dihati sedang meniti bahagia bersama teman hidupnya. Sedikit demi sedikit rasa pedih meresap ke hati dan semakin dirasai. Berkali-kali cuba tidak mahu menghindarkan rasa yang hadir, pedih yang mula menjalar, tetapi apakan daya diri tertewas juga. Kepedihan itu tidak mampu dipadamkan. Bagai bara merah yang sentiasa bernyala. Tidak tahu entahkan bila padamnya.

Mulalah rasa betapa malangnya diri. Mula menyalahkan diri sendiri. Mula bertanya mengapa ini semua terjadi? Apakah tidak layak diri ini untuk mengecapi bahagia seperti insan lain? Tapi, sentiasa jugalah memujuk diri sendiri, tuhan lebih tahu, tuhan pasti telah sediakan sesuatu yang lain yang lebih baik dari apa yang diri inginkan. Seperti yang selalu orang kata “Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi” Tetapi, pujukan itu kadangkala tidak berjaya kerana hati masih bertanya, bilakah masanya? Lelah, sungguh lelah mahu meneruskan kehidupan ini, bila diri tidak dapat lari dari persekitaran yang boleh menghiris hati. Setiap masa terasa luka itu disiram dengan cuka. Amat pedih.