"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Thursday, May 5, 2011

Tak mungkin kerana masih mengharapkan sayang, cuma hanya mengimbau kenangan.

“Setiba di persimpangan,
Langkah kita tak lagi sehaluan
Bermula di saat itu
Tidak senada irama dan lagu”

Tiada siapa pun antara kita yang tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Tentunya kita mahu terus bersama-sama di jalan yang sama hingga ke akhirnya. Namun, telah tertulis, apabila telah ditentukan masanya kita tiba di satu persimpangan, kita telah memilih jalan yang berlainan. Kita tidak lama di haluan yang sama. Kita menjadi dua insan yang berbeza.

“Begitu hidup ini
Tiada yang abadi
Yang patah tumbuh
Yang hilang berganti”

Inilah kehidupan. Manusia hanya mampu merancang dan berusaha mencapai impiannya, tetapi ketentuan itu tetap hak milik mutlak yang maha Esa. Akhirnya dua insan berpisah, membawa haluan sendiri. Kini, kamu telah pun ada pengganti diriku. Dan aku masih berkelana mencari dan mencuba menggapai impian sendiri.

“Kau telah jauh, jauh dariku
Tiada ruang di hati buatmu
Namun harusku akui
Ada ketika di minda kau menjelma kembali”

Telah terbina jurang antara kita. Kesamaan dan persefahaman yang terjalin dulu terlerai sudah. Ternyata sememangnya kita dua insan yang berbeza dari segala segi. Kini, kita sungguh terasing sesama sendiri. Tiada lagi ruang untuk kamu di hatiku begitu juga tiada ruang untukku di hati kamu. Tapi, ku akui sesekali ingatan bersamamu terimbas kembali.

“Sekali sekala ada
Ada rindu yang datang tiba2
Tak mungkin kerana sayang
Cuma terganggu oleh perasaan”

Sesekali apabila memori itu kembali menerjah fikiran, ia tidak lupa hadir bersama rindu. Rindukan kemesraan yang pernah terjalin dahulu. Rindukan kebahagian yang pernah tercipta dahulu. Namun, hadirnya rindu itu bukanlah kerana masih mengharapkan sayangmu, cuma hanya mengimbau kenangan.

“Disaat kamu sedang mengecapi kebahagiaanmu, aku masih lagi terus berjuang mencari kebahagiaanku. Sememangnya nasib kita berbeza. Ujian untuk kita berbeza. Kehidupan kita juga berbeza. Walau kamu seluruhnya membenci saya dan saya terluka dengan kamu seluruhnya, tetapi saya tidak pernah melupakan kasih-sayang yang pernah terjalin dahulu, kerana segalanya yang saya lakukan dahulu bukan mengharap apa-apa balasan.”


No comments: