"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Monday, May 9, 2011

Saya benci bila datangnya hari ibu

Hidup ini terlalu banyak mempermainkan emosi. Apabila diri dan kehidupan kekurangan, terasalah diri terpinggir. Terasa tidak layak berada di sini. Terasa mahu pergi. Tetapi, tak tahu ke mana arus dibawa diri. Juga tak tahu bagaimana mahu pergi.

Semalam sana-sini orang menyambut, bercerita dan mengucapkan Hari Ibu. Sejak dari minggu lepas lagi, radio, tv, surat khabar sibuk bercerita pasal hari ibu ni. Peraduan sana, peraduan sini. Sejujurnya saya tak suka itu semua. Ianya buat saya teramat-amat sedih.

Dulu-dulu masa saya kecil, masa mak masih ada, masa keterbatasan media, stesen radio dan tv tidak sebanyak hari ini, internet pula terlalu asing, tiadalah saya tahu akan kewujudan hari ibu ini. Bagi saya, hari ibu dan ayah adalah setiap hari. Cuma semenjak semakin majunya teknologi yang membawa arus perubahan dunia tanpa sempadan, maka sambutan hari ibu ni pun diwar-warkan dengan hebatnya.

Tiada salahnya pada sesiapa yang mahu menyambutnya. Cuma bagi saya bila ianya diwar-warkan dengan begitu hebat ditambah dengan berbagai-bagai program dan cerita mereka yang masih mempunyai ibu menyambut dan meraikan ibu mereka, adalah seumpama sebilah pisau tajam yang menghiris-hiris hati bagi saya yang telah kehilangan mak. Sehinggakan saya merasa benci akan hadirnya hari ibu. Bukan saya benci hari ibu itu, tetapi saya benci orang-orang disekeliling saya kerana bagi saya mereka terlalu kejam, menunjuk-nunjuk akan kegembiraan mereka tanpa mempedulikan perasaan orang seperti saya yang telah kehilangan ibu dan mereka yang tidak pernah merasa kasih-sayang ibu. Mereka nak sambut, nak raikan ibu mereka pada hari ibu itu saya sokong, tapi tak perlulah nak diceritakan, nak diwar-warkan. Kerana cerita-cerita itu menghiris hati kami yang tak sempat dan tak berpeluang melakukan itu semua.

Bila terdengar, terlihat dan terbaca akan cerita mereka ini, hati saya bagai disiat-siat. Betapa saya merindui mak saya, betapa saya rasa malangnya diri saya kerana tidak sempat membahagiakan, meraikan, memberi penghargaan kepada mak saya seperti orang lain, kerana mak pergi masa saya masih dibangku sekolah lagi. Sejak mak tak ada lagi didunia saya tak cukup kuat nak mendengar, melihat dan membaca cerita mereka yang bercerita tentang dirinya bersama ibu mereka. Saya cemburu. Jadi, apabila hari ibu ini dicanangkan dengan hebat, apabila setiap stesen radio membuka talian untuk pendengar bercerita tentang sambutan dan hadiah hari ibu mereka untuk ibu mereka, apabila stesen tv juga begitu, apabila surat khbar pun cerita sebegitu, saya jadi amat-amat tertekan. Entah berapa kali airmata mengalir, mengenangkan nasib diri.

Semakin maju manusia, semakin maju teknologi, semakin manusia hilang hati perut, semakin manusia mementingkan diri sendiri, semakin manusia hanya memikirkan keuntungan material. Maka, manusia seperti saya yang telah kehilangan ibu, manusia seperti anak-anak yatim yang kehilangan ibu akan terus-terusan rasa terpinggir dan hanya mampu menahan pedih dihati dan hanya airmata yang mengalir dibuat mencuci luka dihati.

Keadaan yang sama akan berulang pada bulan Jun nanti apabila datangnya Hari Bapa. Saya benci semua ini!

No comments: