"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Wednesday, May 4, 2011

Kenangan: andai buahnya manis membahagiakan, andai buahnya pahit dan kelat luka yang telah jadi parut kembali berdarah

Kenangan, satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Tidak boleh dipadam, tidak boleh dibuang. Cuma kalau boleh untuk tidak mengingatinya sahaja. Tetapi, mampukah untuk tidak mengingatinya? Walau sekuat mana berusaha pun, pasti akan terbit, terlintas, terimbau juga kenangan itu. Andai kenangan itu membuahkan hasil yang manis, pastilah ianya membahagiakan, tetapi bagaimana buahnya kelat dan pahit, pasti kelukaan dahulu yang meninggalkan parut, terasa kembali berdarah.

Itulah yang dilalui. Suatu waktu dahulu, seseorang pernah bertakhta dihati. Tetapi, tuhan maha mengetahui segalanya, lalu tidak bersama lagi. Walau telah berusaha untuk bersamanya. Tidak tahulah dipihaknya, kerana adakala rasa diri bagai tidak wujud dalam hidupnya, adakala terasa diri diperlukan. Namun, segalanya ada hikmahnya, ada jawapannya. Sesungguhnya memang tidak tertulis jodoh untuk bersama sehingga kini. Jodohnya bersama orang lain dan diri sendiri masih bersendirian sehingga kini. Masih tidak ketemui jodoh yang telah disuratkan.

Cuma, sebagai manusia kita selalu hanya melihat kesilapan yang dilakukan antara kita. Jarang sekali kita mahu terima sesungguhnya kita tidak mempunyai hak yang mutlak keatas diri kita, hidup kita. Jadi, bila berlaku perselisihan, perpisahan, pasti salah satu pihak yang akan dipersalahkan. Lebih perit bila pihak yang terhukum bersalah itu dihukum oleh keluarga atau orang-orang yang berpihak kepada pihak yang lagi satu itu. Kesalahan itu diletakkan 100% kepada pihak yang dihukum bersalah. Menambahkan perit dan luka, bila pihak itu menyatakan sebenarnya dia tidak pernah ada apa-apa rasa terhadap pihak yang terhukum itu. Kejam? Zalim? Entahlah, apa yang pasti sampai mati luka itu tidak akan pernah sembuh.

Urusan tuhan tiada siapa yang tahu. Hanya Dia yang tahu baik dan buruknya sesuatu itu untuk setiap hambanya. Cuma, sebagai manusia hati tertanya-tanya, ternanti-nanti dan tercari-cari jawapan bagi setiap persoalan yang dihadapi dalam hidup. Adakalanya terlalu resah dan gelisah apabila jawapan yang amat diperlukan itu masih belum ketemui.

Hidup menjadi lebih perit apabila diri sendiri masih teraba-raba, tercari-cari, ternanti-nanti dahan untuk berpaut, bahagia yang diimpi, sedangkan diri tidak dapat lari dari terlihat si dia yang pernah singgah dihati sedang meniti bahagia bersama teman hidupnya. Sedikit demi sedikit rasa pedih meresap ke hati dan semakin dirasai. Berkali-kali cuba tidak mahu menghindarkan rasa yang hadir, pedih yang mula menjalar, tetapi apakan daya diri tertewas juga. Kepedihan itu tidak mampu dipadamkan. Bagai bara merah yang sentiasa bernyala. Tidak tahu entahkan bila padamnya.

Mulalah rasa betapa malangnya diri. Mula menyalahkan diri sendiri. Mula bertanya mengapa ini semua terjadi? Apakah tidak layak diri ini untuk mengecapi bahagia seperti insan lain? Tapi, sentiasa jugalah memujuk diri sendiri, tuhan lebih tahu, tuhan pasti telah sediakan sesuatu yang lain yang lebih baik dari apa yang diri inginkan. Seperti yang selalu orang kata “Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi” Tetapi, pujukan itu kadangkala tidak berjaya kerana hati masih bertanya, bilakah masanya? Lelah, sungguh lelah mahu meneruskan kehidupan ini, bila diri tidak dapat lari dari persekitaran yang boleh menghiris hati. Setiap masa terasa luka itu disiram dengan cuka. Amat pedih.

No comments: