"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Thursday, June 9, 2011

Life Unexpected sudah berakhir, suka sangat dengan kesudahannya

Life Unexpected Season 2
Siri tv Life Unexpected musim ke 2 telah pun habis ditayangkan di channel 702 di astro hari Selasa lepas.

Pengakhiran
Menonton pengakhiran drama tersebut membuatkan saya berkata sendirian “memang betul-betul unexpected”.

Perasaan
Tak tahu nak cerita macamana perasaan yang ada ni. Semuanya ada. Semuanya bercampur baur. Sukar sungguh nak mengungkapkan perasaan ini selepas menonton penyudah drama ini. Yang pasti airmata ini mengalir.

Tentang Life Unexpected
Life unexpected sebuah kisah keluarga, ibu-Cate, ayah-Baze dan anak-Lux yang terpisah. Bukan terpisah kerana penceraian tetapi terpisah kerana tidak pernah adanya ikatan pernikahan. Si anak lahir hasil hubungan yang tidak dirancang oleh si ibu dan si ayah diusia remaja. Kerana masih terlalu muda si ibu terpaksa menyerahkan si anak kepada rumah kebajikan. Si ayah pula tidak pernah tahu akan kewujudan anak ini. Si anak pula telah beberapa kali diserahkan kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat.

Ketika usianya mencapai 16 tahun Lux mencari ibu dan bapanya untuk mendapatkan tandatangan mereka untuk membebaskan si anak dari bawah jagaan rumah kebajikan serta melepaskan dirinya dari keluarga angkatnya. Dari sinilah segalanya bermula.

Drama ini penuh dengan konflik, kisah suka-duka dan yang penting sekali adalah nilai kasih-sayang. Kasih-sayang sesama keluarga, kawan-kawan dan masyarakat.

Walaupun kelahiran anak ini ke dunia tidak pernah diimpikan oleh ibu-bapanya malahan telah menimbulkan pelbagai masalah dan huru-hara. Tetapi disebalik itu semua, kehadirannya telah menyatukan 2 jiwa yang telah terpisah. Kehadirannya juga telah memberi makna dan membuatkan seseorang mula melihat masa depannya iaitu ayahnya Baze dan ibunya Cate.


Penyudah yang tidak disangka
Selepas menghidang pelbagai kisah-suka duka, konflik, tangisan, kesakitan, kehilangan, cerita ini diakhirkan dengan penyatuan sebuah keluarga. Ibu-Cate, ayah-Baze akhirnya bersatu dan bersama-sama menjaga anak mereka Lux. Cate yang telah pun berkahwin dengan Ryan, telah melepaskan Ryan kepada Julia, bekas kekasih Ryan yang sedang sarat mengandungkan anak Ryan. Baze yang selama ini tercari-cari pasangan hidupnya akhirnya bahagia bersama Cate. Sebenarnya memang jelas kelihatan di mata Baze, yang jauh disudut hatinya dia menyayangi dan mencintai Cate. Tetapi, dia terpaksa lepaskan Cate kepada Ryan. Namun bak kata orang islam “kalau dah jodoh tu takkan ke mana kan”. Sesungguhnya memang jodoh Baze adalah Cate, iaitu orang yang telah mengandungkan dan melahirkan anak mereka. Dan akhirnya Lux memanggil mereka “mom, dad” bukan lagi “Cate, Baze”.

Lux yang telah 2 kali kecundang dalam cintanya, setelah kehilangan Bug dan Eric, kini mula mencipta bahagia bersama Jones. Jones yang memberikan kekuatan berkata kepadanya adalah tidak mengapa menjadi ‘tidak normal’ kerana sebenarnya setiap insan pasti ada satu perkara dalam dirinya yang tidak normal. Tasha sahabat karib Lux masih setia disisi Lux.

Pengajaran
Walaupun drama ni jauh dengan budaya dan agama saya, tetapi saya masih mampu melihat pengajaran daripadanya.

Pertama yang amat-amat penting ialah “manusia hanya mampu merancang dan berusaha untuk menjayakan rancangannya, tetapi keputusan akhir adalah ditangan ALLAH”.

Kedua, jodoh, ajal dan rezeki itu HAK Allah.

Ketiga, kasih-sayang sesama insan amatlah penting dalam kehidupan. Ianya harta yang berharga lebih berharga dari harta material.

Akhir kata
Saya mahu sentiasa mengingatkan diri saya, walaupun saya selalu terasa tersisih, terpinggir, tidak layak berada dikalangan kawan-kawan saya dan ‘tidak normal’, saya tahu “masih ada yang sayang pada saya”. Saya juga mahu sentiasa meyakinkan diri saya, yang saya juga berhak bahagia seperti orang lain. Saya akan sentiasa sabar menanti hari tu tiba.

No comments: