"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Tuesday, April 12, 2011

Peperiksaan Akhir Sem 2, maknanya Sem 2 dah nak berakhir

Alhamdulillah, hari ni selesai sudah exam untuk subjek kedua. Lega? Memang lega, tapi tak puashati dengan diri sendiri. Hari ni kertas Persediaan Matematik. Persediaan je, maknanya yang asas-asas je, tapi saya tetap tak dapat jawab semua. Ada 2 kelemahan ketara saya, pertama saya memang lembap dalam berfikir. Bila soalan tu pusing sikit je saya dah tak boleh nak jawab. Kedua saya tak dapat nak ingat formula. Kenapalah memori saya sangat lemah sekarang ni. Mungkin kerana faktor umur yang meningkat agaknya.

Bayangkan, kali terakhir saya berada dalam alam persekolahan ialah berbelas tahun dulu. Lepas habis SPM saya tak melanjutkan persekolahan saya. Saya tak mampu dan dalam masa yang sama saya terpaksa menggalas satu tanggungjawab yang besar. Jadi, selepas berbelas tahun baru saya nak menghadap buku balik semula. Dengan umur yang meningkat, daya ingatan yang telah mula merosot, membuatkan saya agak lembap dalam pembelajaran saya.

Bezanya persekolahan saya sekarang ini ada assignment. Nasib baik untuk assignment hari tu saya dapat markah yang agak memberangsangkan. Cuma untuk peperiksaan akhir ni sahaja, saya cukup tak puashati dengan prestasi saya sendiri. Macam mana ni? Baru je 3 jam lebih habis menjawab soalan kerta Persediaan Matematik dan beberapa hari habis menjawab soalan kertas Prinsip Mikroekonomi, saya sendiri sudah dapat merasakan yang keputusan peperiksaan saya ini nanti akan mengecewakan saya.
Semuanya salah saya sendiri. Saya sebenarnya telah ketandusan motivasi diri dan kehilangan semangat yang masih tidak dapat dicari semula. Saya memulakan pembelajaran saya dengan hati yang separuh, semangat yang entah kemana, motivasi yang tandus. Oleh kerana permohonan saya untuk belajar telah diterima, diikuti rasa sayang nak membatalkan permohonan, maka saya tetap meneruskan impian saya yang satu ini dengan serba-serbinya kekurangan. Bertambah malang apabila semester ke-2 pun sudah nak sampai ke penghujungnya, tetapi semangat saya yang nak sambung belajar yang suatu ketika dulu membuak-buak, entah sudah hilang ke mana.

Emosi juga menyumbang kepada ketidaksediaan saya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Kisah hidup yang malang yang terpaksa saya lalui selama ini telah mengocakkan emosi saya. Hati saya semakin mudah rapuh. Hati yang sekian lama terluka dan tidak pernah sembuh, juga antara sebab saya lemah dalam pembelajaran saya. Setiap kali saya cuba membaca dan mentela’ah buku pelajaran saya, hati saya entah kemana melayangnya. Maka, setiap apa yang saya baca tak lekat sepenuhnya dalam memori saya. Terlalu sedikit yang melekat.

Hari Ahad ini, saya akan menduduki peperikssan akhir untuk subjek Undang-undang pekerjaan dan Industri. Saya masih ada masa beberapa hari untuk mengulangkaji pelajaran saya. Saya berharap hati saya tenang dan dapat menerima pembelajaran saya dengan sepenuhnya. Saya berharap semangat yang telah lama lari meninggalkan saya, kembali ke sisi saya. Saya berharap emosi saya stabil dan tidak terganggu. Hmmmmm… mampukah saya lakukan semua ini dalam beberapa hari ini?

Nampaknya sebelum bermulanya semester 3, Mei nanti, saya bercadang nak pergi mandi bunga la. Nak cas balik ion-ion positif dalam diri saya ni. Nak buang segala ion-ion negatif, supaya ion-ion positif akan menarik perhatian semangat saya yang telah lama pergi agar kembali kepada saya seperti dulu-dulu sewaktu hati saya tidak rabak dilukai dan dilukai berkali-kali sehingga saya tidak merasa erti kenikmatan hidup yang indah ini. Adakala saya rasakan saya tak tahu apa tujuan saya hidup didunia ini. Nasib baiklah saya ini beragama islam dan insyaallah akan memegang tali Islam ini walau diduga dengan berbagai masalah, maka saya akan sedar walau saya tak dapat apa yang saya inginkan, saya telah diamanahkan untuk menjunjung agama ini sehingga ke akhirnya. Saya telah diamanahkan untuk sentiasa sujud kepadaNya. Kerana itulah saya terus berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah diri saya. Saya tak mahu dengan masalah ini akan menjauhkan saya daripadaNya. Tetapi, sesungguhnya semua ini hanyalah mudah apabila diucapkan. Namun apabila menggalasnya teramatlah berat sangat bahu ini yang merasakannya, sehingga rasa tidak termampu nak meneruskan langkah.

p/s: Kadang-kadang terasa mahu berputus asa sahaja.

Monday, April 11, 2011

Manfaat Diam

Pagi-pagi Isnin yang selalu 'blues' ni, jalan-jalan dulu ke blog-blog. Selalunya saya ada 3-4 blog yang wajib akan saya lawat setiap kali saya online. Selepas tu saya akan klik blog secara rambang pada senarai bloglist yang ada dalam blog-blog yang wajib saya lawat tersebut.

Pagi ni saya klik di satu blog ni. Rasanya inilah pertama kali saya baca blog ni. Saya tertarik nak baca kerana tajuk entrinya, iaitu 'Tujuh Manfaat Diam'.

Pertama
Merupakan Ibadah tanpa harus lelah

Kedua
Merupakan hiasan diri tanpa perhiasan

Ketiga
Wibawa tanpa kekuasaan

Keempat
Benteng tanpa dinding

Kelima
Tidak perlu meminta maaf pada siapapun

Keenam
Malaikat pencatat amal rehat

Ketujuh
Penutup keburukan dan sisi-sisi kejahiliyahan diri

Saya tertarik dengan senarai ini seraya berkata "betullah tindakan saya yang sedang berdiam diri sejak kebelakangan ini"

p/s: semakin hari semakin saya menikmati nikmat diam...

sumber dari Jurnal Ungu

Saturday, April 9, 2011

Hilang

Arrrrrrrrrrrggggggggggggggggggggghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!

tertekan... tertekan...

dah panjang saya taip tadi, tapi semuanya hilang...

hilang mood nak update blog...


p/s: dah lah saya sedang mengalami jiwa kacau... sekarang bertambah kacau jiwa saya...

Friday, April 8, 2011

'Exam' & seluar sukan

Esok pagi-pagi jam 9 ada 'exam' hari pertama utk peperiksaan akhir Semester Januari. Saya ambil 3 subjek untuk semester ini. Huhuhuhhu... sungguh teramat risau. Entah boleh jawab atau tidak 'exam' esok ni.

Malam tadi ingatkan nak buat ulangkaji, tapi petang semalam ikut kawan-kawan pejabat pergi main badminton, sudahnya malam tadi awal-awal dah mengantuk. Langsung tak baca buku.

Mula-mula ingat tak mahu 'join' diorang main badminton tu, tapi pergi juga bila terpandangkan seluar sukan yang baru saya beli hari Ahad lepas. Masa tu saya pergi The Mall dgn kawan, dia ajak saya masuk satu kedai jualan murah untuk pakaian dan alatan sukan. Memang murah-murah semuanya. Tinggal lagi saya tak ada bajet je. Teringin juga nak beli kasut sukan adidas ke, power ke, nike ke yang telah diberi potongan harga sehingga 50%. Tapi apakan daya, saya bukan orang yang berkemampuan. Pendapatan saya dengan komitmen saya boleh dikatakan samarata. Jadi takda lebihan untuk saya nak berbelanja lebih. Tapi, saya sempat juga la beli sepasang seluar sukan yang diberi potongan harga sehingga 75%. Saya hanya membayar RM15 untuk seluar tersebut.

Itu sebab walaumacaman fikir tentang 'exam' pun saya tetap nak join main badminton tu dek kerana nak pakai seluar baru. Hehehehe...


p/s: pak-pak menteri selalu cakap ubah gaya hidup... ubah gaya hidup setiap kali berlaku kenaikkan harga barang. saya tak pernah ubah gaya hidup saya sebab memang inilah gaya hidup saya. gaji hanya untuk keperluan asas dan benda-benda penting sahaja. tiada untuk enjoy-enjoy apatah lagi untuk bercuti dan membeli-belah. melancong? apa tu? saya hanya baca sahaja cerita orang tetapi pengalaman sendiri melancong adalah 'zero'. kesian saya.

Thursday, April 7, 2011

Bukan silap saya

Saya ini hanyalah pemegang lulusan SPM sahaja. Selepas mendapat keputusan SPM beberapa belas tahun dahulu saya tidak mampu melanjutkan pembelajaran saya, walaupun keputusan SPM saya melayakkan saya untuk menyambung pembelajaran saya di peringkat yang lebih tinggi. Ya, saya tak mampu dari segi kewangan, malahan dengan keputusan SPM yang saya da itulah saya 'jaja'kan untuk mendapatkan pekerjaan. Alhamdulillah, dengan keputusan SPM saya itu sedikit-sebanyak memudahkan saya mendapat pekerjaan.

Kini, setelah berbelas tahun saya mendapat keputusan SPM, barulah saya dapat menyambung pembelajaran saya. Saya belajar separuh masa di salah-sebuah institusi pengajian awam.

Kini saya berada di Semester ke-2, Semester Januari 2011. Masa saya mendaftar dulu, dengan berbekalkan Sijil SPM, maka saya hanya layak untuk memindahkan kredit bagi matapelajaran Bahasa Kebangsaan sahaja. Dan, itu jugalah yang saya lakukan. Tetapi, tiba-tiba hari ini saya dapat pangggilan dari pihak Universiti berkenaan permohonan saya untuk memindahkan kredit bagi matapelajaran Pengajian Malaysia. Pelik!

Saya sedar diri saya, macamana saya nak pindahkan kredit jika dokumen sokongan tidak dapat saya lampirkan sebagai bukti. Jadi, saya memang tidak pernah mememohon untuk permohonan ini. Itulah yang saya maklumkan kepada pegawai dari universiti tersebut. Tapi, pegawai tu pula berkata pada saya, kalau begitu saya kena faxkan salinan sijil SPM saya kepada mereka untuk membatalkan permohonan tersebut. Masalahnya, mengapa mesti saya nak buat pembatalan apabila saya tidak pernah memohon?

Lebih melucukan, masa saya mendaftar untuk Semester ke-3, Semester Mei 2011, saya ditawarkan 4 matapelajaran termasuk Pengajian Malaysia tersebut. Kalau saya ada membuat permohonan untuk pindah kredit, mengapa pula pihak universiti menawarkan saya matapelajaran tersebut. Lebih lucu lagi, saya sudahpun mendaftarkan matapelajaran tersebut 3 minggu lepas. Lucu! lucu! Saya bertegas untuk tidak mahu faxkan sijil SPM saya, sebab saya pasti kesilapan itu berlaku dipihak mereka.

p/s: ya, saya memang tegas apabila saya PASTI saya tidak melakukan kesilapan, dan saya tak mahu melakukan perkara yang menunjukkan kesilapan itu seolah-olah dari saya. Jelas disini kesilapan itu dipihak mereka, mengapa saya pula yang perlu membetulkannya. Titik.

kekalutan

Dalam berusaha berjuang mengharungi badai, onak dan duri kehidupan sendiri, untuk mencari pelabuhan tenang dan bahagia, digandakan pula dengan 'ribut taufan' yang melanda tanahair, tanah tumpah darahku. Kekalutan demi kekalutan, kemungkaran demi kemungkaran, kemaksiatan demi kemaksiatan semakin menjadi-jadi.

Yang Maha Berkuasa telah beberapa kali memberi 'jentikan manjanya' kepada dunia ini untuk memberi peringatan. 'Jentikan manja' yang didatangkan dalam bentuk gempa bumi, tsunami dan banjir. Tetapi, apakah saya dan keseluruhan manusia telah mengambil iktibar dan mempedulikan 'jentikan manja' itu. Ingatlah, 'jentikan manja' itu hanyalah sebagai peringatan untuk saya dan semua manusia, sebelum tibanya masa dimana pengakhirannya hayat dunia ini. Bila? Wallahualam, hanya ALLAH yang tahu.

Takut, risau, sedih dan kecewa melihat apa yang berlaku dimasa kini.

p/s: Peringatan untuk diri saya sendiri.

Thursday, March 3, 2011

Diam

Suatu ketika dahulu, saya adalah seorang yang sangat banyak bercakap. Ada sahaja benda yang nak saya cakapkan. Masa remaja dahulu saya sangat suka berdebat. Terutama bila ada perkara yang saya rasakan tidak bertepatan dengan fakta, pasti saya akan debatkan dan keluarkan hujah mengikut fakta yang saya perolehi. Sehinggakan ada kawan saya rasa meluat dengan saya (saya agak je bila tengok reaksi mereka). Tapi pada masa tu, saya tak fikir tu semua, yang saya fikirkan adalah saya mesti betulkan fakta yang mereka cakapkan itu. Saya langsung tak peduli mereka meluat atau tidak dengan saya. Tiada langsung terbit rasa kecil hati, atau hati saya fikir perasaan mereka tentang apa yang saya katakan, walaupun semuanya benar. Bagi saya apabila ia salah ia tetap salah dan saya cuba betulkan mengikut fakta yang saya ada.

Sebagai contoh…

Kawan: “Diabetes tu adalah kegemukkan”
Saya: “eh! Bukanlah, diabetes tu adalah kencing manis”
Kawan: “Ada pulak! Aku kata gemuk, gemuklah”
Saya: “Gemuk tu obesiti”
Kawan: “What everlah!” (dengan muka bengang)
Saya: (diam)

Tapi itu dulu, masa tahun 1990-an. Tetapi, sekarang terutama sejak kebelakangan ni, saya menjadi amat pendiam. Saya bercakap benda yang perlu sahaja. Dengan kawan-kawan saya pun, saya dah jarang nak bercerita. Walaupun kadang-kadang saya rasa ada je benda yang nak saya cakapkan tapi saya akan fikir berkali-kali untuk meluahkannya. Selalu yang saya fikirkan ‘kalau aku cakap camni, apa orang akan rasa? Mesti orang rasa meluat, menyampah, mengada-ngada tak pun orang akan kata itu pun nak cakap ke’. Jadi, bila pemikiran-pemikiran yang macam tu yang keluar dipemikiran saya, akhirnya saya ambil langkah berdiam diri. Itu adalah lebih baik saya rasakan.

Sekarang saya amat memahami apabila orang selalu berkata “fikir dulu sebelum cakap”. Mungkin faktor usia juga. Semakin meningkat usia, semakin kita menjadi matang. Kalau diusia remaja dulu, saya tak pernah fikir dan peduli akan ‘feedback’ orang tentang apa yang saya cakapkan. Walaupun balasan kata-kata mereka tu mengguriskan hati, tapi masa tu hati saya cukup kebal. Tak terusik langsung. Tetapi tidak pada ketika ini. Hati saya amat sensitif. Senang terasa dengan kata-kata manusia yang seolah-olah menuduh dan memperlekehkan saya. Ya, saya akui saya semakin menginjak usia tua. Hakikat ini perlu saya akui. Saya bukan budak remaja lagi.

Oleh sebab itu, saya mula berhati-hati dengan apa yang saya cakapkan. Saya tak mahu membuat orang lain terasa hati kerana saya tak mahu orang lain buat saya terasa hati.

Sekarang, saya rasa diam itu sungguh mengasyikkan.

Nota: tak faham dengan seorang rakan sebaya saya, semakin menginjak naik usia, semakin ‘laser’ kata-katanya… kadang-kadang bernada berlagak… ops! mungkin itu hanya perasaan saya…