"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Friday, July 29, 2011

Alhamdulillah... Alhamdulillah; Harimau Malaya saya sayang kamu

Alhamdulillah… hujan rahmat mengiringi kehadiran penghulu hari pada minggu ini. Jumaat yang sejuk, dingin dan damai saya rasakan. Walaupun jalan raya sesak, tapi alhamdulillah sesaknya hanya di separuh jalan sahaja, selebihnya lalulintas lancar. Namun, saya tetap lewat sampai ke pejabat. Tapi, tak apa biar lewat jangan tak sampai terus.

sumber: http://razythelast.deviantart.com/art/harimau-malaya-191228839

Hujan yang lebat juga seolah-olah mewakili seluruh rakyat Malaysia yang kecewa apabila pasukan bolasepak skuad Piala Dunia gagal ke peringkat seterusnya dalam usaha menempatkan diri untuk kelayakkan Piala Dunia bagi Zon Asia. Namun, hujan yang mencurah yang membawa rahmat ini sebenarnya juga mewakili kebanggaan peminat-peminat bolasepak tempatan dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan kita. Inilah yang semua peminat harapkan. Kalah tapi dengan semangat juang yang tinggi. Diharapkan kekalahan ini adalah batu loncatan untuk pasukan kita melangkah lebih jauh. Tahniah pasukan Harimau Malaya. Teruskan perjuanganmu sayang. Saya sayang kamu. Auuuuummmmmmmm…

sumber: http://vrempire.com/multimedia/nike-football-posters-of-malaysian-tigers-aka-harimau-malaya.html

Alhamdulillah juga bila kakak saya beritahu yang dia sekeluarga dapat bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor. Saya betul-betul lega. Beberapa hari ni saya dilanda kerisauan dan kesedihan. Bila mengenangkan Ramadan bakal menjelma dan Syawal pula bakal menyusul. Namun, persiapan Syawal belum kami buat lagi. Bagi diri saya sendiri, memang saya tiada peruntukkan untuk raya kali ini. Tiada baju baru, tudung baru, kasut baru. Saya akan pakai apa yang saya ada, yang saya pakai setiap kali ke pejabat. Itu sudah memadai bagi saya. Bukan tak teringin nak menyarung pakaian baru di pagi raya dan sewaktu menziarah kubur, tapi saya tak mempunyai bajet untuk itu semua.

Cuma saya risaukan anak-anak saudara saya. Kakak saya tidak bekerja dan dia membantu saya menjaga orang tua kami yang dah keuzuran di rumah, disamping menguruskan anak-anak dan suaminya. Suaminya hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang kecil. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jadi, sememangnya saya yang menanggung perbelanjaan kami sekeluarga. Ini pengorbanan saya, setelah kakak saya berkorban membantu saya menjaga orang tua kami, sepeninggalan saya keluar bekerja yang keluar awal pagi dan hanya balik ke rumah bila waktu Isyak menjelma.

Namun dengan bantuan kewangan dari Lembaga Zakat Selangor ini, Alhamdulillah bersyukur sangat, sekurang-kurangnya dapatlah kakak saya membelikan pakaian baru untuk anak-anaknya untuk dipakai pada hari raya nanti. Kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Kalau saya, baju kurung 10 tahun lepas pun masih boleh saya pakai dan masih baik, jadi bolehlah saya pakai pada hari raya nanti. Tapi kanak-kanak lain, mereka sedang membesar. Baju raya tahun lepas dah tak boleh nak disarungkan lagi pada tahun ini. Semua baju-baju tu dah tak muat lagi. Jadi, sememangnya mereka memerlukan pakaian baru. Lagi pun anak-anak saudara saya ni bukan selalu dapat pakaian baru.

Syukur ya Allah… Alhamdulillah… terima kasih atas rezeki yang telah dilimpahkan kepada kami sekeluarga.

No comments: