"Terdampar jauh dihempas badai ku hanyut, Hati merintih terkunci mulut membisu, Perjalanan yang jauh bagai tiada sudahnya, Liku ranjau ku tempuh dalam mencari jawapan. Di sudut kecil hatiku sering berkata, Apa yang terjadi ada hikmah sebaliknya, Ku beranikan diri menongkah arus yang deras, Demi hari esok ku relakan. Walau tiada tangan menghulur, Kan ku tetap berdiri teguh ku bangkit semula, Tuhan... hanya engkau mengerti, Perjalanan hidup seorang insan." Salma

Wednesday, April 13, 2011

Lukai dilukai... takkan sembuh nampaknya.

Sedih! Itulah yang saya rasa sekarang. Mengapa ya kamu melakukan begitu kepada kami sekeluarga? Apa dosa kami kepada kamu? Mengapa kami seringkali dipandang dengan pandangan dipersalahkan oleh kamu? Apakah kamu jaki melihat kami sekeluarga yang hidup gembira pada zahirnya, walaupun batinnya kami sedih. Tetapi kami redha dengan takdir hidup kami yang tak seindah hidup kamu. Oleh itu kami sekeluarga masih boleh ceria dalam gundah. Kami tak suka nak campur hal-ehwal orang lain tanpa sebab munsabah. Kami tak suka nak jaga tepi kain orang lain tanpa sebab munasabah. Kami menjalani hidup kami dalam serba-serbi sederhana dan adakalanya kekurangan tetapi kami tak sibuk-sibuk nak jaga tepi kain orang lain. Adakah kerana hidup kami sebegitu menjadikan kamu irihati dan tak senang hati, lalu kamu sentiasa mencari salah dan silap kami.


Suatu waktu dahulu kamu adalah orang yang saya sayang. Sebenarnya sehingga kini rasa sayang itu sentiasa terpendam dalam lubuk hati saya yang paling dalam. Tetapi setelah apa yang kamu lakukan pada kami sekeluarga terutamanya saya, hati saya terluka yang teramat sangat. Luka yang teramat parah dan sehingga kini masih tidak sembuh. Tapi, saya tidak pernah membenci kamu. Kerana saya sayang kamu. Tetapi tergamak kamu memperlakukan saya sebegini rupa. Hina sungguh diri saya ini dimata kamu kan.


Selepas apa yang kamu lakukan kepada saya dahulu, saya sentiasa memujuk hati saya agar tidak mengungkit apa yang telah saya korbankan dan lakukan untuk kamu semua. Kerana sewaktu saya lakukannya dahulu, saya lakukan dengan hati yang redha dan ikhlas. Saya tidak pernah terfikir untuk meminta apa-apa balasan sekalipun. Saya lakukan sebagai tanggungjawab sosial, sebagai tanggungjawab manusia dengan manusia dan tanggungjawab saudara seislam dengan saudaranya.


Tetapi, saya ini hanyalah manusia biasa. Saya juga punya perasaan. Setelah apa yang kamu lakukan itu cukup-cukup melukakan hati saya dengan parah yang teramat sangat, saya mengambil keputusan menjauhkan diri saya daripada kamu. Tiada niat saya nak memutuskan silaturrahim antara kita, Saya akui ada amarah yang muncul. Cuma apa yang saya lakukan ini adalah untuk mengelakkan terbitnya kebencian dalam diri saya. Saya takut apabila kebencian telah terbit, akan disusuli pula dengan dendam. Apabila dendam telah bertandang, sebagai manusia biasa saya amat lemah. Saya takut nanti saya mengungkit segala yang telah saya lakukan untuk kamu dahulu.


Sungguh sukar untuk saya merawat hati saya yang terluka dengan apa yang telah kamu lakukan itu. Walau sedalam mana pun benci kamu kepada saya, tidak bolehkah kamu ingat kembali apa yang telah saya korbankan dan lakukan untuk kamu? Agar kamu tidak terus mengguris hati saya lagi. Agar kamu dapat membiarkan saya dengan kehidupan saya sendiri. Saya taknak menuding jari dengan mengatakan siapa salah, siapa benar. Segala yang berlaku dahulu diluar kemampuan kita sebagai manusia.


Tiada manusia yang mahukan kekecewaan. Tetapi, pasti ada sebab mengapa itu semua berlaku. Kalau ikutkan keadaan yang sebenar saya boleh saja mengatakan pihak kamu yang bersalah. Kamu sebenarnya tak tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku. Kamu hanya mendengar cerita disebelah pihak. Kamu juga hanya mendengar cerita orang yang tak tahu apa-apa. Kesimpulannya kamu hanya nampak salah saya. Selama ini saya hanya mendiamkan diri sahaja. Bagi saya apa yang sudah berlaku telah pun berlaku. Tak guna nak ungkit-ungkit lagi. Tiada apa lagi yang dapat saya lakukan untuk perkara yang lepas.


Sekarang saya hidup untuk hari ini dan masa depan, insyaallah. Tetapi mengapa kamu seolah-olah berdendam pada saya? Kerana kamu, kerana apa yang kamu telah lakukan kepada saya, menyebabkab saya jadi fobia. Fobia nak berbaik-baik dengan orang. Fobia nak menyayangi orang. Saya menjadi mudah curiga dan berprasangka dengan orang. Saya melatih hati saya jadi batu tanpa ada apa-apa perasaan pun. Bukan menjadi kejam, tetapi hati yang telah tiada lagi apa-apa rasa, kecuali hanya pedih. Inilah dugaan untuk saya yang masih tidak lenyap. Allah terlalu sayangkan saya, kan. Sebab itu Allah terus menguji saya dengan dugaan yang tak pernah padam ini.


“Hai, Ya Allah, maha suci Engkau, segala puji hanyalah untukMu. Ampunilah dosa-dosa saya. Berilah saya kekuatan mengharungi dugaan ini. Saya merayu belas kasihanMu, janganlah Engkau menguji saya dengan ujian yang tidak termampu saya galas. Sesungguhnya Engkaulah yang maha pengasih, maha pemurah dan maha pengampun, aminnnnn”
p/s: alangkah bagusnya kalau saya boleh gantikan hati saya ini dengan hati besi, biar payah untuk dilukai lagi...

No comments: